Friday, April 3, 2009

PKR Tagih Dana Yahudi Untuk Pilihanraya Kecil?

Berita terkini serta gambar foto daripada beberapa laman web dan blog berhubung perjumpaan Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution Ismail dengan top VVIP daripada Singapura memerlukan penjelasan segera Ahli Parlimen Machang terbabit.

Ini kerana pertemuannya dengan First Seceretary High Commision Of The Republic Of Singapore, Walter Chia di Kelab Cinta Sayang menimbulkan pelbagai spekulasi daripada pelbagai pihak.

Apa yang menghairankan kenapakah pemimpin PKR seperti Saifuddin perlu melibatkan Singapura dalam pilihanraya di Malaysia yang rata-rata rakyat Malaysia tahu Singapura adalah dalang pada Yahudi.

Persoalan yang dibangkitkan oleh orang ramai ialah kenapakah Saifuddin bertemu dengan Top VVIP daripada Singapura itu sedangkan umum mengetahui bahawa negara republik berkenaan merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang mengiktiraf kerajaan haram Israel.

Jika beliau mengambil sikap berdiam diri, sudah pasti ianya mengiyakan dakwaan sebelum ini bahawa “bossnya”, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan sayap CIA dan agen Yahudi di Asia.

Saifuddin tidak boleh berdiam diri lagi. Jawapan segera daripada beliau amat diperlukan supaya tidak timbul pelbagai spekulasi yang menakutkan rakyat negara ini.

Thursday, April 2, 2009

Pengundi Jangan Ulangi Kesilapan PRU 12

Memilih calon yang bertanding untuk menjadi wakil rakyat yang berstatus Yang Berhormat (YB) bagi Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen tidak wajar mengikut selera sesuka hati.

Pengajaran memilih wakil rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) sepatutnya tidak diulangi dalam tiga pilihan raya kecil serentak kali ini.

Pengundi bagi ketiga-tiga kawasan tidak perlu mengikut emosi atau terpedaya dengan janji-janji yang belum tentu dapat mereka tunaikan apabila menang kelak.

Di Bukit Gantang, Pas nampaknya mahu bermati-matian memastikan kemenangan mereka. Ini bukan sahaja untuk mengekalkan kerusi yang mereka memenangi pada piliihanraya umum lalu namun yang lebih penting untuk mendabik dada dan mempertahankan tindakan derhaka terhadap Sultan Perak.

Tindakan meletakkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin sudah cukup membuktikan niat sebenar Pas bertanding. Bukan sangat untuk menawarkan khidmat kepada rakyat tetapi lebih bertujuan menunjukkan tindakan derhaka itu direstui rakyat.

Malah sudah menjadi rahsia umum bahawa Nizar adalah calon pilihan DAP kerana yang berada di belakang Nizar selama beliau menjadi Menteri Besar bukanlah Pas jauh lagi rakyat tetapi DAP.

Walaupun DAP penentang tegar cita-cita penubuhan Negara Islam namun demi kuasa, Pas bukan sahaja sanggup bersekongkol malah rela menjadi boneka kepada DAP. Maka tidak hairan juga Pas lebih akur pilihan calon DAP berbanding Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam menentukan calon di Bukit Gantang.

Sudah mula kedengaran di kalangan rakyat bahawa yang menjadi pertarungan di Bukit Gantang sebenarnya adalah di antara calon Barisan Nasional dengan calon DAP bukan Pas.

Sementara itu di Bukit Selambau lain pula ceritanya. Bukit Selambau tiba-tiba menjadi menarik apabila ia menjadi rebutan 15 calon, termasuk 13 calon Bebas.

Kita tidak tahu apa punca sebenar kemunculan begitu ramai calon Bebas mencuba nasib, tetapi yang pasti ada di antara mereka yang tidak berpuas hati dengan pemilihan calon yang jelas memperlihatkan keretakan berlegar dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, ketika PKR mengumumkan nama calonnya sebelum ini pun, sudah berlaku kekecohan apabila ada pihak mendakwa calon yang dipilih, iaitu S Manikumar tidak dikenali.

Hakikatnya masyarakat tidak rasa terkejut dengan calon-calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri Batang Air, Sarawak.

Walaupun kehadiran calon Bebas sudah dijangka di kedua-dua kawasan itu tetapi jumlah 13 calon Bebas bagi merebut kawasan Bukit Selambau, Kedah cukup memeranjatkan.

Memang dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil yang lepas, calon Bebas juga ada yang berjaya meraih banyak undi dan menang pilihan raya.

Sebenarnya memilih calon Bebas bukan salah, tetapi berdasarkan pengalaman lalu mereka kurang berkemampuan untuk membantu rakyat apatah lagi pengundinya sendiri.

Jika kali ini mereka bertanding kerana berpandangan rakyat akan mencari wakil rakyat yang bukan mewakili mana-mana parti politik, atau pengundi sudah hilang keyakinan kepada calon parti politik, mungkin ia tidak berlaku lagi.

Hakikatnya calon-calon Bebas hanya ingin mengambil kesempatan akibat sentimen kekecewaan atau kemarahan para pengundi. Belum menang lagi, ada yang sudah membayangkan sedia untuk menyertai mana-mana parti politik.

Impian ini sudah terbukti kerana ada wakil rakyat Bebas menyertai parti politik dan ditawarkan jawatan exco. Dan akhirnya, apa yang para pengundi kawasan berkenaan dapat daripada wakil rakyat Bebas itu.

Oleh itu, pilihan raya kecil bukan tempat untuk golongan individu mengambil kesempatan. Kita tidak terkejut jika calon-calon Bebas mendakwa mereka bertanding kerana mempunyai ramai pengikut.

Namun kita lebih percayakan 'keghairahan' calon-calon Bebas bertanding kali ini bukan kerana soal demokrasi tetapi untuk menguji populariti mereka supaya dapat menuntut sesuatu atau menagih tempat dalam pentadbiran negeri.

Biar apapun telahan dan anilisis segala-galanya akan terjawab pada 7 April nanti. Namun pengundi ketiga-tiga kawasan pilihan raya kecil perlu diperingatkan akan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat.

Mereka perlu memilih bukan semata-mata untuk masa depan diri sendiri tetapi juga majoriti masyarakat di kawasan berkenaan.

Terpulang kepada pengundi untuk membuat penilaian siapa yang lebih baik antara BN dan pembangkang, bukan saja di Selambau, malah di Bukit Gantang dan Batang Air.

PKR Makin Tak Waras Berdepan PM Baru

Parti Keadilan Rakyat (PKR) benar-benar memperlihatkan sikap mengelabah dan tidak bertanggungjawab apabila menyiarkan dalam laman berita rasminya Suara Keadilan mendakwa acara mengangkat sumpah Perdana Menteri baru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, hari Jumaat dibatalkan.

Kononnya pembatalan itu dibuat kerana Yang di-Pertuan Agong menolak untuk melantik Najib sebagai Perdana Menteri setelah menerima perletakan jawatan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Sementara itu sumber Jabatan Perdana Menteri memberitahu setelah Abdullah dan Najib mengadap Yang di-Pertuan Agong, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah mempersiapkan semua dokumen berkaitan dengan urusan serah tugas yang akan berlangsung hari Jumaat.

Malah, persiapan acara mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri baru juga telah disiapkan di Istana Negara dan semua yang berkaitan telah menerima surat rasmi bagi maksud majlis mengangkat sumpah berkenaan.

Sumber itu memberitahu, apa yang cuba dibuat oleh PKR adalah kerja orang yang tidak waras dan kemuncak kepada beberapa siri pembohongan parti itu.

Malah menurut sumber itu, apa yang dilakukan PKR itu boleh difahami kerana PKR khususnya penasihat parti berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim memang tidak 'sedia' untuk berhadapan dengan Najib sebaga Perdana Menteri baru.

Monday, March 30, 2009

Sejarah 15 Calon Beri Isyarat Jelas Rakyat Muak

Walaupun 7 April ini berlangsung tiga pilihan raya kecil secara serentak di tiga kawasan dan tiga negeri namun aku percaya Bukit Selambau lebih menjadi tumpuan, lebih menarik untuk dibualkan. Buktinya, hari penamaan calon hari ini menyaksikan pertandingan 15 penjuru - kali pertama dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

Daripada jumlah tersebut, 13 daripadanya adalah calon bebas manakala setiap seorang wakil BN dan PKR. Senarainya adalah seperti berikut :

1. R. Loganathan (Bebas) - logo kelapa sawit
2 . Tan Hock Huat (Bebas) - kunci
3. Radzi Md. Lazim - Bebas - kerusi
4. S. Manikumar (PKR) - logo PKR
5. Mohd. Fadzil Abdul Wahab (Bebas) - kepala harimau
6. Abdul Rahim Abu - (Bebas) - jam loceng
7. L. Sarala (Bebas) - basikal
8. Datuk S. Ganesan (BN) - dacing
9. A. Jayagopal (Bebas) - payung
10. S. Moganakumar (Bebas) - buku
11 . Khamis Awang (Bebas) - ayam jantan
12. Husaini Yaacob - (Bebas) -bas
13. M. Vanesan - (Bebas) ikan
14. Mejar (B) Anuar Abd. Hamid (Bebas) - telefon
15. T. Chandrarajan - (Bebas) kapal terbang

Menariknya daripada 13 calon Bebas, 6 adalah Melayu, 6 India dan seorang lagi dari kaum Cina. Sementara calon BN dan PKR keduanya-duanya berbangsa India.Dalam hal ini ramai percaya calon2 bebas Melayu cuba menyampaikan isyarat mereka kepada BN, kerajaan dan juga kaum minoriti.

Mereka ingin menyampaikan rasa tidak puas hati kerana BN memilih calon bukan Melayu bertanding di Bukit Selambau, walaupun majoriti penduduknya adalah Melayu.Beliau juga mahu menyampaikan rasa tidak yakin terhadap UMNO yang menjadi parti terbesar Melayu yang tidak diberi peluang bertanding di situ, sedangkan pada PAU lalu, calon bukan Melayu yang diletakkan disitu mengalami kekalahan.

Mereka juga menyampaikan isyarat kepada kaum minoriti di kawasan tersebut atau bahkan kepada seluruh negara bahawa undi Melayu untuk Melayu. Dengan berfikiran sedemikian beliau berharap dapat menarik 100% pengundi Melayu memangkah calon Melayu.

Pun begitu aku kemungkinan ada diantara mereka ditaja oleh pihak lain sama ada dari parti pembangkang atau kerajaan untuk memecah undi calon-calon parti induk yang bertanding kali ini. Seperti dikatakan tadi, jika senario Melayu pilih Melayu, India pilih India dan Cina pilih Cina, maka kemungkinan untuk mereka memenangi kerusi Bukit Selambau ada harapan.

Bagaimanapun, undi2 di kalangan mereka sesama sendiri juga berpecah kerana pengundi yang memilih Melayu untuk Melayu terpaksa memilih antara enam calon Melayu yang ada manakala bagi undi India untuk India pula jauh lebih sukar kerana terpaksa bersaing antara lapan calon.

Jika ini berlaku, populariti calon akan memberi kelebihan. Mereka yang popular di kalangan pengundi Bukit Selambau akan menjadi pilihan.Namun bukan soal kalah menang yang mereka pentingkan tetapi apa yang mereka mahu tunjukkan bahawa rakyat di Bukit Selambau mahukan perubahan kerana sudah muak dengan situasi politik yang berlaku di negara ini dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Friday, February 27, 2009

Pemilih di Bukit Gantang, Bukit Selambau boleh semak maklumat pengundian

Pengundi di dua kawasan pilihan raya kecil yang bakal diadakan serentak 7 April ini iaitu di kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak dan kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah, boleh mula menyemak maklumat pengundian mereka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ngah Senik berkata maklumat yang boleh disemak termasuk nama pusat mengundi dan nombor saluran mengundi.

Semakan boleh dibuat melalui tiga cara, iaitu melalui laman web SPR iaitu www.spr.gov.my, melalui SMS dan di Bilik Gerakan Pilihan Raya Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak dan di Kedah, katanya dalam sebuah kenyataan di sini hari ini.

Bagi perkhidmatan SMS, Ngah berkata perkhidmatan itu mula beroperasi mulai Rabu lalu sehingga 7 April nanti, dan caj sebanyak 35 sen dikenakan untuk setiap SMS yang dihantar.

Untuk menghantar SMS, pemilih berdaftar di bahagian-bahagian pilihan raya tersebut hanya perlu menaip, SPR jarak SEMAK jarak NO KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.

Bagi semakan dengan Bilik Gerakan Pilihan Raya Negeri, pemilih di Bukit Gantang boleh menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak di talian 05-2547189 manakala pengundi di Bukit Selambau boleh menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah di talian 04-7001313 atau 04-7001303.

Semakan itu boleh dibuat setiap hari dari 1 Mac hingga 7 April ini.

Pada 13 Feb lepas, SPR menetapkan kedua-dua pilihan raya kecil diadakan serentak, iaitu penamaan calon masing-masing pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum, daripada PAS pada 9 April akibat diserang sakit jantung manakala kerusi Bukit Selambau dikosongkan oleh V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletak jawatan - Bernama

Monday, February 23, 2009

MIC bersedia letak calon tempatan di Bukit Selambau

MIC akan meletakkan seorang calon tempatan yang diyakini boleh menjalankan tugasnya dengan baik sekiranya kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) memberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau kepada parti itu, kata Presidennya, Datuk Seri S.Samy Vellu.

Beliau berkata, antara kriteria yang sedang dipertimbangkan ialah calon itu mesti seorang yang boleh bekerja, kenal kawasan tersebut dan pandai bertutur dalam loghat Kedah supaya senang untuk mendekati masyarakat tempatan.

"Sebenarnya kawasan itu, kawasan MIC sebab kita telah bertanding empat pilihan raya di sana, jadi tidak kira calon tua atau muda, asalkan rakyat suka atau tidak (kepada calon), itu yang lebih penting," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Biro Keanggotaan dan Pendaftaran Pengundi MIC Selangor di ibu pejabat MIC di sini hari ini.

Mengulas kenyataan Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir baru-baru ini bahawa peluang BN memenangi kerusi itu lebih besar jika calon UMNO yang bertanding pada pilihan raya kecil 7 April, Samy Vellu berkata, beliau boleh cakap apa sahaja yang beliau suka dan beliau tidak dapat mengubah keputusan peringkat nasional.

Kerusi DUN Bukit Selambau kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, V.Arumugan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 8 Feb lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Arumugam, 54, yang bertanding sebagai calon bebas, menewaskan calon BN, S.Krishnan daripada MIC dengan majoriti 2,362 undi.

Samy Vellu berkata, berdasarkan hasil lawatan awalnya di kedua-dua kawasan pilihan raya kecil, penerimaan masyarakat terhadap BN, khususnya MIC, adalah lebih baik berbanding pada pilihan raya umum lepas.

"Mereka (masyarakat) mengaku mereka telah buat silap dengan mengundi pakatan rakyat yang telah banyak berjanji kosong dan masyarakat di situ berharap bila kembali ke BN, masalah mereka boleh diselesaikan," katanya.

Beliau berkata kemenangan seharusnya berpihak kepada BN baik di kerusi Bukit Selambau mahupun Bukit Gantang di Perak yang diadakan berikutan kematian anggota Parlimennya, Roslan Shaharum, 50, daripada Pas pada 9 Februari lepas akibat serangan jantung.

Katanya, kira-kira 1,000 anggota pergerakan Pemuda MIC telah ke Bukit Selambau dan 900 lagi ke Bukit Gantang untuk mengatur aktiviti mereka sepanjang proses pilihan raya kecil itu nanti.

"Tanpa sokongan mereka, saya percaya kita tidak boleh menang mana-mana pilihan raya, kita akan menghadapi lebih banyak masalah untuk menyampaikan mesej kita kepada rakyat.

"Pendekatan baru kita akan memperkuatkan Pemuda dan Wanita supaya seterusnya akan mengukuhkan akar umbi dan saya yakin MIC boleh jadi parti yang lebih elok daripada dulu," katanya yang turut menyasarkan 10,000 keanggotaan baru bagi pergerakan Pemuda MIC menjelang 2010. - Bernama

Saturday, February 21, 2009

Hormati pengundi Melayu

Sumber: Utusan Malaysia (19 Feb 2008)

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Pengarang Rencana
Mingguan Malaysia

DALAM sejarah Barisan Nasional (BN) di Kedah, salah satu kawasan Parlimen yang tidak pernah dikuasai oleh pembangkang ialah Merbok. Bagaimanapun senario ini berubah pada pilihan raya umum lalu.

BN bukan sahaja tewas di Parlimen Merbok, malah lebih daripada itu, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Tanjong Dawai dan Bukit Selambau turut ‘hanyut’ ke tangan pembangkang.

Di Tanjong Dawai, calon BN ‘tersungkur’ di tangan Pas manakala di Bukit Selambau, ia babak paling menyedihkan, BN kecundang kepada calon Bebas.

Kini BN diberi ruang untuk menebus kembali kekalahan di salah satu kawasan berkenaan iaitu Bukit Selambau berikutan pilihan raya kecil yang akan diadakan di situ pada 7 April nanti. Di atas kertas mungkin tafsiran yang dibuat ialah ia kawasan tradisi MIC sejak empat penggal lalu.

MIC yang mewakili BN pernah bertakhta di situ selama empat penggal dan melalui MIC juga BN kehilangan kerusi berkenaan. Apa pun itu semua adalah catatan sejarah.
Dalam senario politik sekarang, soal tradisi atau ia kuota milik MIC sudah tidak harus diperhitungkan lagi tetapi persoalan yang lebih besar ialah memastikan bahawa kerusi itu kembali berada dalam genggaman BN.

Penulis yang berkesempatan membuat tinjauan politik di kawasan DUN berkenaan kelmarin, mendapati sentimen penolakan terhadap sebarang usaha untuk meletakkan sekali lagi calon daripada MIC mewakili BN adalah terlalu tinggi. Ini kerana pengundi Melayu di kawasan berkenaan beranggapan kerusi tersebut harus dikembalikan kepada UMNO yang pernah menguasainya suatu ketika dulu.

Hakikatnya, tuntutan yang dibuat bukanlah berunsur perkauman sebaliknya ia berasaskan kepada pecahan pengundi di kawasan tersebut yang menyaksikan daripada keseluruhan 35,140 pengundi, 50.2 peratus adalah pengundi Melayu, India (29.5 peratus) dan Cina (19.3 peratus).

‘‘Dalam pertemuan dengan beberapa pihak termasuk di kalangan pemimpin UMNO sendiri mereka mahu kerusi itu ditandingi oleh UMNO,’’ kata Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mohd. Zain.

Bagi Tajul Urus, walaupun soal kawasan tradisi mana-mana parti komponen harus dihormati namun dalam masa yang sama pertimbangan yang bijak perlu dilakukan berikutan situasi politik kini yang dianggap tidak begitu memihak kepada BN.

Oleh itu adalah jelas, jika BN berhasrat untuk menawan kembali kawasan tersebut, hak pengundi Melayu sebagai pengundi majoriti harus dihormati.

Biarpun ketika ini ada lima calon Bebas yang kesemuanya berketurunan India melahirkan hasrat untuk bertanding dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menyatakan hendak meletakkan calon India namun BN tidak perlu mengikut rentak mereka. Helah PKR harus diambil kira kerana mungkin akan meletakkan calon Melayu di saat akhir.

Justeru pucuk pimpinan BN harus tegas jika berhasrat untuk merampas kerusi berkenaan. BN seharusnya tidak khuatir bahawa MIC akan merajuk atau sebaliknya.
Ia disebabkan berdasarkan situasi di lapangan, MIC sendiri mempunyai masalah untuk menarik sokongan pengundi India di Bukit Selambau.

Lebih memburukkan lagi keadaan menurut sumber, parti komponen itu di Merbok dikatakan berpecah kepada empat kumpulan. Malah sudah ada salah satu kumpulan yang bertelingkah itu telah memberi peringatan bahawa mereka tidak akan menyokong BN jika calon MIC dicalonkan.

Justeru dalam membuat keputusan ini, pucuk pimpinan BN tidak harus terperangkap dengan sentimen untuk menjaga hati dan perasaan mana-mana pihak atau terlalu mengambil kira soal kuota.

Perjuangan BN di Bukit Selambau bukanlah untuk meningkatkan martabat mana-mana parti komponen, sebaliknya berteraskan kepada keazaman untuk mencapai kemenangan.

Sama ada hendak diakui atau tidak, imej BN yang diwakili oleh MIC di kalangan pengundi di DUN tersebut masih rendah bukan sahaja di kalangan pengundi Melayu malah pengundi India. Ia disebabkan kepada beberapa faktor termasuklah kegagalan BN memberikan perkhidmatan yang terbaik ketika menguasai DUN tersebut.

Akibatnya, pada pilihan raya umum lalu biarpun istilah ‘tsunami’ digunakan bagi ‘menghalalkan’ kegagalan BN di Bukit Selambau tetapi fakta sebenarnya ialah pilihan raya berkenaan dijadikan pentas untuk menolak BN.

‘‘Kalau BN meletakkan calon yang betul daripada UMNO, sudah pasti pengundi Melayu akan memberi undi mereka kepada BN,’’ kata salah seorang penduduk di DUN tersebut kepada penulis.

‘Calon yang betul’ - walaupun sebutannya mudah tetapi inilah tugas sukar yang dihadapi oleh BN dalam usaha memastikan individu yang dipilih bukannya pilihan parti semata-mata tetapi lebih penting diterima oleh rakyat.

Dalam soal ini, BN perlu meneliti latar belakang setiap calon. Kriteria paling penting ialah dia harus mesra rakyat dan bukannya seorang yang apabila sudah memiliki jawatan, bak kata orang bersikap ‘melihat langit sahaja’ - ertinya sombong dengan kedudukan yang dimilikinya.

Apa yang diperkatakan bukanlah satu andaiannya tetapi inilah gambaran yang diperolehi oleh penulis. UMNO tidak boleh meletakkan pemimpin yang sombong dan hanya menemui rakyat apabila pilihan raya hendak diadakan.

Hakikatnya, bukanlah satu rahsia lagi bagaimana penduduk di kawasan Parlimen Merbok bercakap berhubung sesetengah pemimpin UMNO bahagian itu yang bukan sahaja sombong malah isteri mereka juga mempunyai sikap yang sama.

Kesudahannya apabila pilihan raya, rakyat menolak BN sebagai membalas dendam. Oleh itu kesilapan ini tidak boleh diulangi. UMNO benar-benar perlu meletakkan calon yang tepat dan diterima oleh rakyat.

Berdasarkan tinjauan, rata-rata berpendapat, BN mempunyai peluang merampas kembali Bukit Selambau tetapi ia terpulang kepada sejauh mana parti itu betul dalam memilih calon.

Walaupun pada tarikh yang sama BN juga akan berhadapan dengan cabaran di Parlimen Bukit Gantang tetapi kemenangan BN di Bukit Selambau amat penting sebagai permulaan ke arah usaha parti itu bangkit semula selepas kehilangan kuasa di Kedah.

Apa pun terserahlah kepada pucuk pimpinan BN menentukannya tetapi apa yang pasti kerusi Bukit Selambau perlu dikembalikan kepada UMNO, jika tidak, percayalah peluang BN bak kata orang Kedah, ‘‘pi mai pi mai tang tu jugak.’’