Friday, February 27, 2009

Pemilih di Bukit Gantang, Bukit Selambau boleh semak maklumat pengundian

Pengundi di dua kawasan pilihan raya kecil yang bakal diadakan serentak 7 April ini iaitu di kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak dan kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah, boleh mula menyemak maklumat pengundian mereka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ngah Senik berkata maklumat yang boleh disemak termasuk nama pusat mengundi dan nombor saluran mengundi.

Semakan boleh dibuat melalui tiga cara, iaitu melalui laman web SPR iaitu www.spr.gov.my, melalui SMS dan di Bilik Gerakan Pilihan Raya Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak dan di Kedah, katanya dalam sebuah kenyataan di sini hari ini.

Bagi perkhidmatan SMS, Ngah berkata perkhidmatan itu mula beroperasi mulai Rabu lalu sehingga 7 April nanti, dan caj sebanyak 35 sen dikenakan untuk setiap SMS yang dihantar.

Untuk menghantar SMS, pemilih berdaftar di bahagian-bahagian pilihan raya tersebut hanya perlu menaip, SPR jarak SEMAK jarak NO KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.

Bagi semakan dengan Bilik Gerakan Pilihan Raya Negeri, pemilih di Bukit Gantang boleh menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak di talian 05-2547189 manakala pengundi di Bukit Selambau boleh menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah di talian 04-7001313 atau 04-7001303.

Semakan itu boleh dibuat setiap hari dari 1 Mac hingga 7 April ini.

Pada 13 Feb lepas, SPR menetapkan kedua-dua pilihan raya kecil diadakan serentak, iaitu penamaan calon masing-masing pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum, daripada PAS pada 9 April akibat diserang sakit jantung manakala kerusi Bukit Selambau dikosongkan oleh V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletak jawatan - Bernama

Monday, February 23, 2009

MIC bersedia letak calon tempatan di Bukit Selambau

MIC akan meletakkan seorang calon tempatan yang diyakini boleh menjalankan tugasnya dengan baik sekiranya kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) memberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau kepada parti itu, kata Presidennya, Datuk Seri S.Samy Vellu.

Beliau berkata, antara kriteria yang sedang dipertimbangkan ialah calon itu mesti seorang yang boleh bekerja, kenal kawasan tersebut dan pandai bertutur dalam loghat Kedah supaya senang untuk mendekati masyarakat tempatan.

"Sebenarnya kawasan itu, kawasan MIC sebab kita telah bertanding empat pilihan raya di sana, jadi tidak kira calon tua atau muda, asalkan rakyat suka atau tidak (kepada calon), itu yang lebih penting," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Biro Keanggotaan dan Pendaftaran Pengundi MIC Selangor di ibu pejabat MIC di sini hari ini.

Mengulas kenyataan Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir baru-baru ini bahawa peluang BN memenangi kerusi itu lebih besar jika calon UMNO yang bertanding pada pilihan raya kecil 7 April, Samy Vellu berkata, beliau boleh cakap apa sahaja yang beliau suka dan beliau tidak dapat mengubah keputusan peringkat nasional.

Kerusi DUN Bukit Selambau kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, V.Arumugan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 8 Feb lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12, Arumugam, 54, yang bertanding sebagai calon bebas, menewaskan calon BN, S.Krishnan daripada MIC dengan majoriti 2,362 undi.

Samy Vellu berkata, berdasarkan hasil lawatan awalnya di kedua-dua kawasan pilihan raya kecil, penerimaan masyarakat terhadap BN, khususnya MIC, adalah lebih baik berbanding pada pilihan raya umum lepas.

"Mereka (masyarakat) mengaku mereka telah buat silap dengan mengundi pakatan rakyat yang telah banyak berjanji kosong dan masyarakat di situ berharap bila kembali ke BN, masalah mereka boleh diselesaikan," katanya.

Beliau berkata kemenangan seharusnya berpihak kepada BN baik di kerusi Bukit Selambau mahupun Bukit Gantang di Perak yang diadakan berikutan kematian anggota Parlimennya, Roslan Shaharum, 50, daripada Pas pada 9 Februari lepas akibat serangan jantung.

Katanya, kira-kira 1,000 anggota pergerakan Pemuda MIC telah ke Bukit Selambau dan 900 lagi ke Bukit Gantang untuk mengatur aktiviti mereka sepanjang proses pilihan raya kecil itu nanti.

"Tanpa sokongan mereka, saya percaya kita tidak boleh menang mana-mana pilihan raya, kita akan menghadapi lebih banyak masalah untuk menyampaikan mesej kita kepada rakyat.

"Pendekatan baru kita akan memperkuatkan Pemuda dan Wanita supaya seterusnya akan mengukuhkan akar umbi dan saya yakin MIC boleh jadi parti yang lebih elok daripada dulu," katanya yang turut menyasarkan 10,000 keanggotaan baru bagi pergerakan Pemuda MIC menjelang 2010. - Bernama

Saturday, February 21, 2009

Hormati pengundi Melayu

Sumber: Utusan Malaysia (19 Feb 2008)

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Pengarang Rencana
Mingguan Malaysia

DALAM sejarah Barisan Nasional (BN) di Kedah, salah satu kawasan Parlimen yang tidak pernah dikuasai oleh pembangkang ialah Merbok. Bagaimanapun senario ini berubah pada pilihan raya umum lalu.

BN bukan sahaja tewas di Parlimen Merbok, malah lebih daripada itu, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Tanjong Dawai dan Bukit Selambau turut ‘hanyut’ ke tangan pembangkang.

Di Tanjong Dawai, calon BN ‘tersungkur’ di tangan Pas manakala di Bukit Selambau, ia babak paling menyedihkan, BN kecundang kepada calon Bebas.

Kini BN diberi ruang untuk menebus kembali kekalahan di salah satu kawasan berkenaan iaitu Bukit Selambau berikutan pilihan raya kecil yang akan diadakan di situ pada 7 April nanti. Di atas kertas mungkin tafsiran yang dibuat ialah ia kawasan tradisi MIC sejak empat penggal lalu.

MIC yang mewakili BN pernah bertakhta di situ selama empat penggal dan melalui MIC juga BN kehilangan kerusi berkenaan. Apa pun itu semua adalah catatan sejarah.
Dalam senario politik sekarang, soal tradisi atau ia kuota milik MIC sudah tidak harus diperhitungkan lagi tetapi persoalan yang lebih besar ialah memastikan bahawa kerusi itu kembali berada dalam genggaman BN.

Penulis yang berkesempatan membuat tinjauan politik di kawasan DUN berkenaan kelmarin, mendapati sentimen penolakan terhadap sebarang usaha untuk meletakkan sekali lagi calon daripada MIC mewakili BN adalah terlalu tinggi. Ini kerana pengundi Melayu di kawasan berkenaan beranggapan kerusi tersebut harus dikembalikan kepada UMNO yang pernah menguasainya suatu ketika dulu.

Hakikatnya, tuntutan yang dibuat bukanlah berunsur perkauman sebaliknya ia berasaskan kepada pecahan pengundi di kawasan tersebut yang menyaksikan daripada keseluruhan 35,140 pengundi, 50.2 peratus adalah pengundi Melayu, India (29.5 peratus) dan Cina (19.3 peratus).

‘‘Dalam pertemuan dengan beberapa pihak termasuk di kalangan pemimpin UMNO sendiri mereka mahu kerusi itu ditandingi oleh UMNO,’’ kata Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mohd. Zain.

Bagi Tajul Urus, walaupun soal kawasan tradisi mana-mana parti komponen harus dihormati namun dalam masa yang sama pertimbangan yang bijak perlu dilakukan berikutan situasi politik kini yang dianggap tidak begitu memihak kepada BN.

Oleh itu adalah jelas, jika BN berhasrat untuk menawan kembali kawasan tersebut, hak pengundi Melayu sebagai pengundi majoriti harus dihormati.

Biarpun ketika ini ada lima calon Bebas yang kesemuanya berketurunan India melahirkan hasrat untuk bertanding dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menyatakan hendak meletakkan calon India namun BN tidak perlu mengikut rentak mereka. Helah PKR harus diambil kira kerana mungkin akan meletakkan calon Melayu di saat akhir.

Justeru pucuk pimpinan BN harus tegas jika berhasrat untuk merampas kerusi berkenaan. BN seharusnya tidak khuatir bahawa MIC akan merajuk atau sebaliknya.
Ia disebabkan berdasarkan situasi di lapangan, MIC sendiri mempunyai masalah untuk menarik sokongan pengundi India di Bukit Selambau.

Lebih memburukkan lagi keadaan menurut sumber, parti komponen itu di Merbok dikatakan berpecah kepada empat kumpulan. Malah sudah ada salah satu kumpulan yang bertelingkah itu telah memberi peringatan bahawa mereka tidak akan menyokong BN jika calon MIC dicalonkan.

Justeru dalam membuat keputusan ini, pucuk pimpinan BN tidak harus terperangkap dengan sentimen untuk menjaga hati dan perasaan mana-mana pihak atau terlalu mengambil kira soal kuota.

Perjuangan BN di Bukit Selambau bukanlah untuk meningkatkan martabat mana-mana parti komponen, sebaliknya berteraskan kepada keazaman untuk mencapai kemenangan.

Sama ada hendak diakui atau tidak, imej BN yang diwakili oleh MIC di kalangan pengundi di DUN tersebut masih rendah bukan sahaja di kalangan pengundi Melayu malah pengundi India. Ia disebabkan kepada beberapa faktor termasuklah kegagalan BN memberikan perkhidmatan yang terbaik ketika menguasai DUN tersebut.

Akibatnya, pada pilihan raya umum lalu biarpun istilah ‘tsunami’ digunakan bagi ‘menghalalkan’ kegagalan BN di Bukit Selambau tetapi fakta sebenarnya ialah pilihan raya berkenaan dijadikan pentas untuk menolak BN.

‘‘Kalau BN meletakkan calon yang betul daripada UMNO, sudah pasti pengundi Melayu akan memberi undi mereka kepada BN,’’ kata salah seorang penduduk di DUN tersebut kepada penulis.

‘Calon yang betul’ - walaupun sebutannya mudah tetapi inilah tugas sukar yang dihadapi oleh BN dalam usaha memastikan individu yang dipilih bukannya pilihan parti semata-mata tetapi lebih penting diterima oleh rakyat.

Dalam soal ini, BN perlu meneliti latar belakang setiap calon. Kriteria paling penting ialah dia harus mesra rakyat dan bukannya seorang yang apabila sudah memiliki jawatan, bak kata orang bersikap ‘melihat langit sahaja’ - ertinya sombong dengan kedudukan yang dimilikinya.

Apa yang diperkatakan bukanlah satu andaiannya tetapi inilah gambaran yang diperolehi oleh penulis. UMNO tidak boleh meletakkan pemimpin yang sombong dan hanya menemui rakyat apabila pilihan raya hendak diadakan.

Hakikatnya, bukanlah satu rahsia lagi bagaimana penduduk di kawasan Parlimen Merbok bercakap berhubung sesetengah pemimpin UMNO bahagian itu yang bukan sahaja sombong malah isteri mereka juga mempunyai sikap yang sama.

Kesudahannya apabila pilihan raya, rakyat menolak BN sebagai membalas dendam. Oleh itu kesilapan ini tidak boleh diulangi. UMNO benar-benar perlu meletakkan calon yang tepat dan diterima oleh rakyat.

Berdasarkan tinjauan, rata-rata berpendapat, BN mempunyai peluang merampas kembali Bukit Selambau tetapi ia terpulang kepada sejauh mana parti itu betul dalam memilih calon.

Walaupun pada tarikh yang sama BN juga akan berhadapan dengan cabaran di Parlimen Bukit Gantang tetapi kemenangan BN di Bukit Selambau amat penting sebagai permulaan ke arah usaha parti itu bangkit semula selepas kehilangan kuasa di Kedah.

Apa pun terserahlah kepada pucuk pimpinan BN menentukannya tetapi apa yang pasti kerusi Bukit Selambau perlu dikembalikan kepada UMNO, jika tidak, percayalah peluang BN bak kata orang Kedah, ‘‘pi mai pi mai tang tu jugak.’’

Datuk Thasleem tawar diri bertanding calon bebas di Bukit Selambau

IPOH: Seorang ahli perniagaan Datuk Thasleem Mohd. Ibrahim hari ini mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah.

Thasleem, 59, yang juga bekas Penasihat Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) berkata hasrat beliau untuk bertanding dibuat selepas mendapat desakan dan permintaan daripada ramai pengundi di kawasan berkenaan.

"Saya mendapat banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan dan penduduk Bukit Selambau, Sungai Petani dan Alor Setar supaya bertanding berdasarkan komitmen saya kepada masyarakat selama ini... selepas memikirkan semasak-masaknya permintaan ini dan tanggungjawab yang perlu digalas itu, saya bersedia untuk bertanding," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini.

Thasleem yang juga pernah menganggotai MIC dari 1975 hingga 2007 dan menjadi Penasihat Kimma selama dua tahun dari 2007 adalah ahli perniagaan yang berasal dari sini.

Thasleem berkata, beliau juga adalah Presiden Masjid India Muslim Ipoh, penasihat kepada Jamaah Malabar di Johor, penasihat Persatuan India Muslim Kelantan dan lebih 17 pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

Beliau berkata, keputusannya menawarkan diri sebagai wakil rakyat adalah kerana mahu memperjuangkan kebajikan rakyat terutama golongan India Muslim yang masih tidak mendapat perhatian sewajarnya.

"Saya yakin dapat meraih sokongan pengundi kawasan itu kerana saya akan menumpukan kepada usaha-usaha memastikan kebajikan masyarakat melibatkan semua kaum diberikan perhatian," katanya.

Thasleem berkata, sebanyak 120 wakilnya telah bergerak dan membuat tinjauan di kawasan DUN Bukit Selambau sebelum beliau memulakan kempen sebaik penamaan calon pada 29 Mac.

Dengan pengumuman Thasleem, seramai tiga calon bebas bakal bertanding selepas ahli perniagaan, R. Loganathan, 43, dan bekas Ketua Wanita Parti Progresif Rakyat (PPP) Kedah G. Saralah, 33, membuat pengumuman serupa sebelum ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan pada 8 Februari lalu.

Arumugam, yang bertanding atas tiket Bebas sebelum menyertai PKR menewaskan calon Barisan Nasional (BN), S. Krishnan dengan majoriti 2,362 undi pada pilihan raya umum ke-12 tahun lalu.

Pengundian bagi pilihan raya kecil berkenaan akan berlangsung pada 7 April jika ada pertandingan.

Ia diadakan serentak dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak.

Thursday, February 19, 2009

Pemuda UMNO bersatu dalam hadapi pilihan raya kecil

Pemuda UMNO akan kekal bersatu untuk menghadapi dua pilihan raya kecil iaitu di kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak dan kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Selambau di Kedah pada April ini walaupun pergerakan itu akan mengadakan pemilihan pada akhir Mac ini.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata walaupun akan menghadapi pemilihan parti, kepentingan dan keutamaan akan diberikan kepada prestasi parti dalam dua pilihan raya itu, ditetapkan pada 7 April. Penamaan calon pada 29 Mac.

“Tiada guna memegang jawatan tinggi jika parti tidak dihormati oleh rakyat.

Jadi, kami (Pemuda UMNO) akan bergerak sebagai satu untuk memastikan parti diterima oleh semua,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat UMNO di sini hari ini.

Ditanya sama ada pertembungan tarikh bagi pemilihan parti dan pilihan raya kecil itu mungkin menjejaskan keupayaan UMNO, Hishammuddin berkata: “Kami mempunyai persefahaman sendiri.

“Berkempen adalah perkara biasa dalam keluarga kami. Dalam UMNO, orang boleh kata apa sahaja tetapi kami tiada masalah dalam memberikan komitmen kami kepada parti dan akan kekal bersatu.

Tuesday, February 17, 2009

Penaja nafi Arumugam letak jawatan sebab diugut BN

SUNGAI PETANI — Individu yang menaja V.Arumugam pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, menafikan peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau itu disebabkan oleh ugutan pihak tertentu khususnya Barisan Nasional (BN).

Zamil Ibrahim yang juga bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah mendakwa, Arumugam tidak pernah ditawarkan sebarang imbuhan sekiranya bersetuju untuk meletak jawatan, sebaliknya beliau berbuat demikian atas sebab lain.

“Selepas sebulan menjadi Exco, Arumugam mengadu tidak selesa serta ’dianak tirikan’ kerajaan negeri, jadi saya nasihatkan dia supaya keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan sebab itulah dia letak jawatan.

“Dia (Arumugam) menceritakan semua masalah kepada saya kerana saya bertanggungjawab membiayai sepenuhnya perbelanjaan beliau dari segi deposit calon, kos berkempen serta menyediakan borang pencalonan pada pilihan raya umum yang lalu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Monday, February 9, 2009

Bicara Perjuangan Di Bukit Selambau

DUN Bukit Selambau, Kedah akan menyaksikan satu pilihan raya kecil diadakan selepas Anggota Exco Kedah, V. Arumugam mengosongkan jawatan tersebut dan juga sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Selambau.

Ia diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, DS Azizan Abdul Razak di sini pukul 9 malam tadi. Sidang media itu merupakan yang kedua dalam tempoh 12 jam hari ini.

Tengah hari tadi beliau mengesahkan Arumugam melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Beliau berkata surat peletakan jawatan Arumugam itu bertarikh 8 Februari dan diterima oleh beliau pada pukul 5 petang tadi yang lengkap dengan tandatangan dan cop Pesuruhjaya Sumpah.