Saturday, February 21, 2009

Datuk Thasleem tawar diri bertanding calon bebas di Bukit Selambau

IPOH: Seorang ahli perniagaan Datuk Thasleem Mohd. Ibrahim hari ini mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah.

Thasleem, 59, yang juga bekas Penasihat Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) berkata hasrat beliau untuk bertanding dibuat selepas mendapat desakan dan permintaan daripada ramai pengundi di kawasan berkenaan.

"Saya mendapat banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan dan penduduk Bukit Selambau, Sungai Petani dan Alor Setar supaya bertanding berdasarkan komitmen saya kepada masyarakat selama ini... selepas memikirkan semasak-masaknya permintaan ini dan tanggungjawab yang perlu digalas itu, saya bersedia untuk bertanding," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini.

Thasleem yang juga pernah menganggotai MIC dari 1975 hingga 2007 dan menjadi Penasihat Kimma selama dua tahun dari 2007 adalah ahli perniagaan yang berasal dari sini.

Thasleem berkata, beliau juga adalah Presiden Masjid India Muslim Ipoh, penasihat kepada Jamaah Malabar di Johor, penasihat Persatuan India Muslim Kelantan dan lebih 17 pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

Beliau berkata, keputusannya menawarkan diri sebagai wakil rakyat adalah kerana mahu memperjuangkan kebajikan rakyat terutama golongan India Muslim yang masih tidak mendapat perhatian sewajarnya.

"Saya yakin dapat meraih sokongan pengundi kawasan itu kerana saya akan menumpukan kepada usaha-usaha memastikan kebajikan masyarakat melibatkan semua kaum diberikan perhatian," katanya.

Thasleem berkata, sebanyak 120 wakilnya telah bergerak dan membuat tinjauan di kawasan DUN Bukit Selambau sebelum beliau memulakan kempen sebaik penamaan calon pada 29 Mac.

Dengan pengumuman Thasleem, seramai tiga calon bebas bakal bertanding selepas ahli perniagaan, R. Loganathan, 43, dan bekas Ketua Wanita Parti Progresif Rakyat (PPP) Kedah G. Saralah, 33, membuat pengumuman serupa sebelum ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan pada 8 Februari lalu.

Arumugam, yang bertanding atas tiket Bebas sebelum menyertai PKR menewaskan calon Barisan Nasional (BN), S. Krishnan dengan majoriti 2,362 undi pada pilihan raya umum ke-12 tahun lalu.

Pengundian bagi pilihan raya kecil berkenaan akan berlangsung pada 7 April jika ada pertandingan.

Ia diadakan serentak dengan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak.

No comments:

Post a Comment